Friday, July 23, 2010

70 Ribu Umat Nabi Muhammad Akan Memasuki Syurga tanpa dihisab


Hadis Ibnu Abbas r.a:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku telah diperlihatkan oleh Allah beberapa golongan umat manusia. Maka aku telah melihat seorang Nabi bersamanya satu kumpulan manusia iaitu tidak lebih dari sepuluh orang. Seorang Nabi bersamanya seorang lelaki dan dua orang lelaki dan seorang Nabi tanpa seorang pun bersamanya. Tiba-tiba diperlihatkan kepada aku satu kumpulan yang ramai. Aku menyangka mereka adalah dari umatku. Tetapi dikatakan kepadaku mereka adalah Nabi Musa a.s dan kaumnya. Lihatlah ke ufuk, lalu aku pun melihatnya, ternyata terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan lagi kepadaku: Lihatlah ke ufuk yang lain. Ternyata di sana juga terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan kepadaku: Ini adalah umatmu dan bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang yang akan memasuki Syurga tanpa dihisab dan diazab. Kemudian Rasulullah s.a.w bangkit lalu masuk ke dalam rumahnya. Orang ramai telah berbincang mengenai mereka yang akan dimasukkan ke dalam Syurga tanpa dihisab dan diazab. kemudian setengah dari mereka berkata: Mungkin mereka adalah orang-orang yang selalu bersama Rasulullah s.a.w. Ada pula yang mengatakan: Mungkin mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik terhadap Allah. Mereka mengemukakan pendapat masing-masing. Ketika itu Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka lalu Baginda bertanya dengan bersabda: Apa yang telah kamu bincangkan? Mereka pun menerangkan keadaan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w terus bersabda: Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan jampi mentera, tidak meminta supaya dibuat jampi mentera, tidak meramalkan perkara-perkara buruk dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. Ukkasyah bin Mihsan berdiri lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu termasuk dari kalangan mereka. Kemudian berdiri seorang lelaki yang lain lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Ukkasyah telah mendahului kamu supaya digolongkan dari kalangan mereka yang memasuki Syurga tanpa dihisab.

HADIS : RIWAYAT MUSLIM
KITAB : IMAN
BAB : Bab Dalil Yang Menunjukkan Beberapa Golongan Orang Islam Akan Memasuki Syurga Tanpa Dihisab dan Diseksa

No comments:

Post a Comment